KANGAR - Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akhirnya menemui penyelesaian apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Barisan Nasional (BN) bersepakat menyokong beliau memegang jawatan tersebut.
ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, sebelum kesemua mereka memohon sembah ampun dan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Arau dekat sini pada Ahad lalu, keputusan itu telah dicapai.
"Kami tidak inginkan kemelut melibatkan pelantikan Menteri Besar ini berpanjangan.
"Kami sebulat suara menyatakan sokongan dengan tidak berbelah bahagi selain akur dengan titah Tuanku Syed Sirajuddin berhubung pelantikan Azlan.
"Semua ini demi rakyat dan BN merupakan parti yang menang di Perlis jadi tidak perlu wujudnya kerajaan campuran, perpaduan atau sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bulan Ramadan DUN Mata Ayer di Dewan 2020 di sini hari ini.
Selain Asmaiza, tujuh ADUN BN yang lain memohon ampun sembah dan menghadap Tuanku Syed Sirajudddin ialah Teh Chai Ann (Titi Tinggi), Ruzaini Rais (Beseri), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Azizan Sulaiman (Santan) dan Hamizan Hassan (Kayang).
Turut sama menghadap Raja Perlis ialah Rozieana Ahmad (Pauh) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat).
ADUN BN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim tidak hadir pada pertemuan itu kerana mempunyai urusan di Kuala Lumpur tetapi bersetuju dan menyokong keputusan lapan ADUN BN yang lain.
Difahamkan, Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah dimaklumkan berhubung penyelesaian krisis politik di negeri yang mempunyai kira-kira 250,000 penduduk itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.
Namun, pelantikan Azlan pada mulanya tidak dipersetujui sembilan ADUN BN yang lain menyebabkan krisis Menteri Besar Perlis berlanjutan sejak 24 Mei lalu.
Dalam pada itu, Azlan ketika ditemui pada majlis itu hari ini hanya memberikan komen ringkas.
"Alhamdulillah, ok," katanya. - K! ONLINE
0 Response to "[SHAHIDAN TAK DATANG?]Krisis MB Perlis selesai, sembilan ADUN sepakat sokong Azlan Man"
Posting Komentar