Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keluar UMNO dan BN berkuatkuasa 1 Julai depan selepas kecewa dengan proses pemilihan kepimpinan Ketua Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gantang sesi 2018-2021 pada 23 Jun lalu. 


"Apa yang mengecewakan saya ialah terdapat dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian ini tidak mahu akur dengan keputusan sebulat suara supaya pembentukan kepimpinan baru sayap UMNO di sini dibuat secara berhemah, berbincang dan bermusyawarah.
"Berlaku penipuan dalam pemilihan kali ini apabila 15 cawangan Pemuda UMNO yang bermesyuarat dinafikan hak tanpa notis selain budaya mengugut, mengadu domba, menghasut dan memfitnah wujudnya politik wang yang telah mencemar proses demokrasi pemilihan Pemuda UMNO Bahagian," katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini. 
Tambah Syed Abu Hussin, beliau juga kecewa apabila tidak dibenarkan berucap pada Persidangan Pemuda UMNO Bahagian pada 23 Jun lalu. 
Katanya, keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas itu dibuat atas kehendak sendiri dan tidak dipengaruhi oleh individu yang berkepentingan atau mana-mana ahli politik.
"Saya akan meneruskan khidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen di Bukit Gantang tanpa diganggu oleh masalah dalaman parti UMNO. 
"Dengan ini, saya turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN Bukit Gantang berkuatkuasa hari ini dan memberi laluan kepada barisan pelapis yang berkemampuan," katanya. 
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang akan dipangku Timbalannya, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar. - K! ONLINE