MTEM, yang menaungi 170 NGO ekonomi Melayu seluruh negara, menyambut baik langkah menubuhkan majlis penasihat namun proses pelantikan, keanggotaan dan pengurusan gerak kerja dilaksanakan dengan tergesa-gesa dan sambil lewa, berbeza dengan penubuhan Majlis Penasihat Negara yang terurus dan lancar.
“Pegawai-pegawai kementerian dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menasihati menteri tentang hala tuju Majlis Penasihat Pertanian Negara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman.
MTEM risau penetapan dasar terhadap projek-projek kerajaan dulu seperti Pusat Fidlot Kebangsaan 2.0 juga dibuat secara tergesa-gesa dan sambil lewa.
Yazid berkata beberapa kementerian lain juga dilihat tidak meletakkan keutamaan mereka pada tempat yang betul.
“Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya dapat melaksanakan pentadbiran dengan lebih baik. Kerajaan PH kini sedang mengikut langkah kerajaan terdahulu yang banyak bertindak tanpa melakukan konsultasi yang berkesan,” katanya.
MTEM berkata menteri sepatutnya melibatkan pakar yang menguasai teknologi; ekonomi; pemasaran dan perdagangan; pengurusan, undang-undang dan dasar; isu akar umbi seperti nelayan, pesawah dan penternak; dan kaedah alternatif dalam MPPN.
“Ahli-ahli majlis yang dilantik mestilah benar-benar memahami industri bukan sahaja dari aspek perniagaan dan ekonomi tetapi juga dari sudut pandang jaminan keselamatan makanan dan kebajikan pemain-pemain industri di pelbagai peringkat.
“Mereka juga mestilah dipastikan sentiasa bebas daripada kepentingan-kepentingan peribadi,” katanya.
MTEM berkata menteri juga seharusnya mengarahkan kajian dan rundingan dilakukan terlebih dahulu sebelum mengumumkan pembatalan atau penerusan satu-satu projek.
“Sebelum pengumuman dibuat, seharusnya dilaksanakan kajian kebolehlaksanaan, konsultasi pakar, kajian kos dan manfaat, dan yang paling penting perbincangan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan seperti petani dan penternak.”
MTEM mahu melihat perubahan industri pertanian dari sudut dasar dan kawal selia, penghapusan kartel, pertanian berasaskan sains dan teknologi, pengunaan kaedah alternatif yang selamat dan produktif, bebas rasuah dan salah guna kuasa, dan peningkatan taraf hidup petani, penternak dan nelayan.
0 Response to "MTEM tegur Menteri PH lantik ahli tidak layak dalam Jawatankuasa"
Posting Komentar