Kerajaan negeri Kelantan menegaskan pihaknya memerlukan tempoh bagi melunaskan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tempoh tertentu diperlukan bagi membolehkan apa yang janji kepada rakyat di negeri itu dilaksanakan.
Mengambil contoh janji untuk menubuhkan kolej wanita katanya, perkara itu mengambil masa kerana memerlukan proses dan prosedur yang teliti.
"Kita ada lima tahun, Pakatan Harapan pun belum buat lagi, cuma (berkaitan) GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) saja," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Bagaimanapun, dalam laporan tersebut Mohd Amar yang juga naib presiden PAS tidak menjelaskan secara terperinci berapa lama masa diperlukan bagi melunaskan manifesto berkenaan.
Pada PRU14 9 Mei lalu, PAS berjaya mempertahankan pentadbiran negeri Kelantan di samping berjaya merampas negeri Terengganu daripada BN.
Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri ada melaksanakan beberapa perkara antaranya sumbangan kepada pengayuh beca, bantuan RM100 kepada murid menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan pengecualian cukai pintu sebelum PRU14 lalu.
"Yang lain kena ambil masa, contohnya penubuhan kolej wanita, kena buat kertas kerja yang lengkap.
"Kita juga berjanji menaik taraf skim perkhidmatan guru YIK sama ada yang berstatus tetap atau sandaran dan ia menjangka akan memakan masa setahun untuk proses itu," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor.
0 Response to "[SAPA TAK KENAL PAS] Kami perlu masa tunai manifesto di Kelantan"
Posting Komentar