oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi
====================
1. Selain memperjuangkan kebebasan untuk murtad dan hak LGBT, fahaman liberal juga menjalankan promosi safe sex (seks selamat). Ia adalah bagi mengatasi isu pembuangan bayi dan masalah penyakit kelamin.
2. Idea mempromosi safe sex ini walau bagaimanapun dilihat tidak juga menjamin menyelesaikan masalah pembuangan bayi. Isu pembuangan bayi kebanyakannya berpunca dari perbuatan seks sebelum nikah atau zina. Saya yakin, mereka yang sudah berkahwin pasti berkeinginan tinggi untuk memelihara zuriat mereka dan bukannya membuang bayi mereka di dalam mangkuk tandas atau longkang.
3. Jadi, salah satu akar masalah ini adalah isu mengamalkan seks sebelum nikah atau zina. Dengan sebab itu Rasulullah mengingatkan pemuda di zaman Baginda agar menjauhi zina.
4. Rasulullah menggunakan pendekatan yang rasional bagi memahamkan orang muda tentang implikasi zina. Apabila seorang pemuda datang meminta izin untuk berzina, Rasulullah dengan tenang bertanya kepada pemuda tersebut: “Apakah engkau suka sekiranya seorang lelaki berzina dengan ibu kamu?” Tersentak pemuda tersebut. Secara fitrahnya manusia menolak perlakuan ini. Sukakah kita jika ibu atau kakak kita berzina?
5. Baginda juga membayangkan kepada para pemuda bahawa perlakuan zina adalah perbuatan orang yang tidak beriman. Apabila perkara ini sentiasa diterapkan di dalam jiwa pemuda melalui Quran dan hadith, mereka sedikit sebanyak akan terkesan dari aspek membina pendirian yang jelas berhubung perkara ini.
6. Malah Rasulullah juga menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang zina. Sekiranya undang-undang jalan raya manusia terpaksa ikut apabila dikuatkuasakan, mengapa kita harus menunggu masyarakat untuk faham tentang undang-undang pencegahan zina? Kita tidak perlu menunggu masyarakat untuk faham tentang mengapa had laju lebuhraya hanya 110km, mengapa kita harus menunggu masyarakat untuk faham tentang undang-undang zina sekalipun kesan negatifnya amat jelas?
7. Isu pembuangan anak dan hubungan seks luar nikah tidak hanya akan selesai dengan kempen safe sex dan pemberian kondom percuma. Ianya harus dirawat melalui akar permasalahan iaitu pemahaman masyarakat terhadap hubungan seks itu sendiri.
8. Kaedah yang Islam bawa lebih menjurus kepada bagaimana Muslim mengawal kehendak seks mereka. Remaja ditekankan supaya menundukkan pandangan, berpuasa sunat, pemilihan kawan yang baik, mencegah kemunkaran dan banyak lagi pendekatan yang membina jatidiri remaja Muslim.
9. Rasulullah dilihat sangat cermat dalam menangani isu ini. Masyarakat jahiliyyah yang sudah terbiasa dengan isu zina dan kebejatan sosial dapat ditangani dan dibangunkan semula. Mereka yang pernah berzina boleh datang dan mengaku kepada Rasulullah secara sukarela tanpa dipaksa bukan buang bayi dan menyorok. Ini berpunca dari pemahaman yang diterapkan serta keimanan yang ditanamkan oleh Rasulullah.
10. Dalam al-Quran pula, Nabi Yusuf ditampilkan sebagai contoh bagaimana seorang pemuda yang digoda berjaya mengawal kehendak dirinya. Betapa al-Quran menekankan peri pentingnya menjaga kehormatan diri.
11. Benar, penggubalan berhubung Pendidikan Seks amatlah diperlukan. Ia walaubagaimanapun perlulah selari dengan kerangka Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai tonggak asas negara Malaysia.
Moga Allah membimbing kita dari gejala zina
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
0 Response to "Kempen Safe Sex: Promote Sex Luar Nikah Tapi Dengan Cara Selamat"
Posting Komentar